fb fb fb fb fb

Kapal kargo karam: 13 anak kapal diselamatkan, 9 masih hilang

(FOTO REUTERS)

TOKYO, 25 Januari- Tiga belas anak kapal berjaya diselamatkan susulan kejadian sebuah kapal kargo karam di barat daya Jepun; ketika kejadian angin musim sejuk bertiup kencang.

Pesawat dan kapal, termasuk milik persendirian dilaporkan masih meneruskan usaha mencari sembilan kru yang masih hilang.

Kapal didaftarkan dengan nama "Jintian" di Hong Kong itu membawa muatan 6,651 tan, membuat panggilan kecemasan lewat Selasa, kata pengawal pantai Jepun.

Media melaporkan saksi yang berada dalam kapal itu menyenaraikan 22 anak kapal, kesemuanya warga China atau Myanmar dengan 13 daripadanya telah dipindahkan ke bot penyelamat.

Setakat ini, tiada maklumat terperinci mengenai punca kapal yang membawa kayu balak itu terbalik.

Jurucakap pengawal pantai berkata angin kencang dilaporkan berlaku ketika isyarat kecemasan diterima sekitar pukul 11.15 malam pada Selasa.

Jurucakap tertinggi kerajaan Hirokazu Matsuno berkata, pengawal pantai segera mendapatkan bantuan dari kapal peronda dan pesawat di sekitar barat bandar Nagasaki. Kapal itu dilaporkan tenggelam pada 2.46 pagi (17:46 GMT pada Selasa), tambahnya, memetik laporan kapal lain di kawasan itu.

"Pengawal pantai juga mendapat kerjasama daripada Pasukan Pertahanan Diri, pengawal pantai Korea Selatan, dan kapal yang berlayar berhampiran kawasan perairan," kata Matsuno pada satu sidang media.

Beliau berkata lima anak kapal yang diselamatkan, semuanya warga China namun tidak mempunyai maklumat lanjut mengenai keadaan mereka.


(Pengawal pantai melakukan operasi mencari dan menyelamat kru kapal kargo di perairan
antara Korea dan Jepun/REUTERS)

Dalam perkembangan sama, jurucakap pengawal pantai Jepun memberitahu Reuters, Pasukan Pertahanan Udara Jepun dan pengawal pantai Korea berjaya menyelamatkan lapan lagi anak kapal.

Terdahulu, empat kru dilaporkan terapung diselamatkan sebuah kapal persendirian, kira-kira 110 km ke barat pulau Danjo.

Bagaimanapun pengawal pantai tidak dapat mengesahkan laporan lanjut keadaan anak kapal yang berada dalam bot penyelamat itu.

Berita berkaitan
4 kru ditemukan, 18 dikhuatiri lemas kapal kargo karam di Jepun

Bahagian barat Jepun dilanda ribut musim sejuk yang membawa keadaan sejuk dan berangin.

Kawasan di mana kapal itu karam adalah antara Nagasaki dan pulau Jeju Korea Selatan, di mana ratusan penerbangan turut dibatalkan pada Selasa kerana keadaan cuaca buruk. REUTERS

Media Baharu