fb fb fb fb fb

KKM kesal isu penjualan 'Tiger Pod'

(KKM mendapat maklumat mengenai aktiviti mempromosi, pengiklanan dan penjualan vape
'Tiger Pod' yang kini semakin berleluasa)

PUTRAJAYA, 25 Januari- Kementerian Kesihatan (KKM) kesal dengan isu penjualan produk rokok elektronik atau vape yang menyerupai permainan kanak-kanak dikenali sebagai 'Tiger Pod' di hadapan sebuah sekolah dan tular baru-baru ini.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, KKM memandang serius isu berkenaan kerana ia sangat membimbangkan, susulan produk terbabit direka sehingga boleh menarik perhatian golongan bawah umur.

Beliau berkata, KKM juga mendapat maklumat mengenai aktiviti mempromosi, pengiklanan dan penjualan vape tersebut yang kini semakin berleluasa.

"Perkara ini sangat membimbangkan ibu-bapa dan guru kerana produk terbabit direka sehingga menarik perhatian kanak-kanak dan remaja untuk menggunakannya.

"Apa yang lebih membimbangkan adalah apabila rokok elektronik atau vape ini menggunakan cecair bernikotin, yang penjualannya adalah dikawal bawah Akta Racun 1952," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pengedaran dan pembekalan sebarang persediaan mengandungi nikotin memerlukan pendaftaran dan kelulusan sebagai ubat daripada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, Akta Jualan Dadah 1952.

"Menyedari bahawa Akta Racun 1952 tidak mempunyai peruntukan terhadap larangan aktiviti promosi dan pengiklanan cecair rokok elektronik atau vape, maka peruntukan itu sudah dimasukkan bawah Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok, bertujuan mengawal selia penghasilan produk itu.

"Ia sudah pun dibentangkan untuk bacaan kali kedua pada sidang Parlimen Ogos tahun lalu dan pelaksanaan terhadapnya masih tertangguh sehingga kini," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penyelesaian penjualan produk yang boleh membahayakan kesihatan generasi muda seperti 'Tiger Pod' memerlukan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi penguatkuasaan lain.

"Saya juga ingin menegaskan supaya pengusaha-pengusaha vape haruslah mengambil sikap bertanggungjawab yang tinggi dalam menghasilkan produk mereka.

"Ibu-bapa juga diminta terus memantau aktiviti anak-anak supaya tidak terjebak dalam amalan yang boleh merosakkan kesihatan mereka," katanya.

Tambahnya, KKM akan terus bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengajian Tinggi, universiti awam dan swasta serta badan-badan bukan kerajaan dalam aktiviti advokasi dan pencegahan.

"Ini bagi memastikan pendidikan berterusan berkaitan bahaya merokok dapat disebarkan secara meluas kepada semua lapisan masyarakat," katanya.

(KKM memandang serius isu penjualan 'Tiger Pod' berikutan rekaannya
yang boleh menarik 
perhatian golongan bawah umur)

Media Baharu