KUALA LUMPUR, 26 Oktober -Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmão, menyifatkan penyertaan negaranya dalam ASEAN bukan sekadar simbolik atau bertujuan mengejar keuntungan ekonomi semata-mata.
Katanya, ia membuka ruang kepada negara itu untuk belajar daripada pengalaman negara jiran, memperkukuh keupayaan tenaga kerja, serta memperluas kerjasama teknikal dan diplomatik.
"Banyak sektor dan bukan sahaja Malaysia, tetapi juga banyak anggota ASEAN juga mahu membantu. Kami percaya selepas persidangan ini, apa sahaja keperluan mereka, kami akan datang ke sini untuk belajar dan bekerjasama," katanya kepada pemberita dalam sidang media di Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, petang tadi.
Beliau berkata, keahlian anggota ASEAN itu mengukuhkan kedudukan Timor-Leste dalam keluarga Asia Tenggara yang merupakan hasil daripada lebih dua dekad dedikasi negara itu terhadap keamanan dan kemakmuran bersama.