KUALA LUMPUR, 28 Oktober- Radio Televisyen Malaysia (RTM) terus memperkukuh penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam usaha meningkatkan keberkesanan kandungan dan kefahaman terhadap tingkah laku penonton.
Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman berkata, teknologi AI membantu RTM dalam penyelidikan bagi mengenal pasti segmen penonton dengan lebih tepat serta memahami corak tontonan mereka.
“AI membantu kami mengetahui siapa yang menonton, apakah segmen penonton yang paling aktif dan potensi yang boleh diterokai daripada data tersebut."
“Teknologi ini turut memberi maklum balas mengenai jangkaan jumlah penonton serta daya tarikan kandungan terhadap pelbagai pihak termasuk penterjemah dan rakan kolaborasi,” kata Datuk Suhaimi.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel pada Persidangan Antarabangsa Media dan Komunikasi 2025 (MENTION2025) hari ini.
Tambah beliau, maklumat yang diperoleh melalui analisis AI amat penting dalam proses membuat keputusan editorial dan strategi kandungan RTM, selaras dengan usaha memperkukuh penyiaran berasaskan data di era digital.
Selain itu, antara perkara yang akan dikongsikan ialah bagaimana teknologi AI digunakan dalam pelbagai program serta “Analytics Day” di RTM bagi meningkatkan kecekapan dan daya saing organisasi.
"Apa yang penting ialah kita perlu bersedia dan bertanggungjawab dalam memastikan teknologi ini dimanfaatkan untuk kebaikan manusia dan bukan sebaliknya," jelasnya.
