KUALA LUMPUR, 28 Oktober - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) komited melaksanakan pemantauan proaktif dan penguatkuasaan terhadap kandungan dalam talian yang melanggar Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Ini termasuk kandungan yang bersifat lucah, palsu, mengancam, atau melampau, yang dianggap menyalahi undang-undang.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menjelaskan, selari dengan agenda reformasi institusi, Seksyen 233 Akta 588 dipinda tahun lalu untuk menggantikan perkataan ‘jelik’ kepada perkataan ‘jelik melampau’, menetapkan tanda aras yang lebih ketat bagi menjadikannya sebagai satu kesalahan.
"Mahkamah Rayuan baru-baru ini telah memutuskan bahawa perkataan 'jelik' dan 'menyakitkan hati' di bawah Seksyen 233 Akta 588 adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah. Walau bagaimanapun, keputusan Mahkamah Rayuan tersebut hanya terpakai kepada peruntukan Seksyen 233 sebelum pindaan Akta 588." kata beliau pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Datuk Fahmi menambah, kerajaan menghormati keputusan Mahkamah Rayuan ini dan telah meneliti dari segi aspek perlembagaan serta undang-undang.
Atas nasihat Jabatan Peguam Negara (AGC), pihak Kerajaan kini telah memfailkan permohonan kebenaran rayuan ke Mahkamah Persekutuan.
"Memandangkan keputusan Mahkamah Rayuan tersebut kini sedang dalam proses rayuan ke Mahkamah Persekutuan, adalah wajar semua pihak menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum membuat apa-apa pendirian tentang elemen ‘jelik’ dan ‘menyakitkan hati’ dalam peruntukan Seksyen 233 Akta 588 sebelum pindaan. Proses kehakiman ini perlu dihormati oleh semua pihak untuk mengelakkan sebarang spekulasi yang boleh mengganggu keputusan Mahkamah Persekutuan dan juga isu sub-judice." kata beliau.
Dalam itu, Datuk Fahmi memaklumkan pelbagai langkah dan inisiatif dilaksana termasuk perbincangan dengan MCMC, Polis Diraja Malaysia (PDRM), agensi serta pemain industri berkaitan untuk mengatasi ancaman keselamatan dalam talian.
Ia termasuk cadangan larangan akses melibatkan kanak-kanak 16 tahun ke bawah dalam cabaran peningkatan jenayah siber, termasuk scam yang semakin berleuasa di platform media sosial.
Antara cabaran utama ialah penyalahgunaan akaun palsu atau 'fake account' yang digunakan bagi tujuan memanipulasi orang ramai dengan skim pelaburan atau produk yang berunsur scam.