PARLIMEN, 28 Oktober- Sebanyak 96.51 peratus atau 416,096 perjawatan guru daripada 431,128 telah diisi, setakat 31 Ogos 2025.
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh memaklumkan seramai 10,096 guru baharu akan ditempatkan bagi menampung kekurangan tenaga pengajar khususnya mata pelajaran kritikal pada November ini.
"Tiga negeri yang mempunyai pengisian paling tinggi adalah Wilayah Persekutuan Putrajaya 100 peratus, Sabah 98 peratus, Wilayah Persekutuan Labuan 97.7 peratus.
"Manakala hanya empat negeri yang mempunyai pengisian bawah 96 peratus iaitu Johor 95.31 peratus, Pahang 95.47 peratus, Sarawak 95.93 peratus dan Pulau Pinang 95.97 peratus," kata beliau di Parlimen.
Kementerian Pendidikan (KPM) turut mengambil maklum keperluan tenaga pengajar melibatkan beberapa mata pelajaran tertentu.
Beberapa langkah strategik telah dan sedang diambil bagi mengisi perjawatan berkenaan.
"Ini terutamanya guru pendidikan khas dan opsyen mata pelajaran seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, Reka Bentuk dan Teknologi, Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral.
"Sehingga 22 September, seramai 10,045 guru baharu telah ditempatkan di sekolah KPM. Terkini KPM sedang melaksana penempatan guru baharu dari pasaran terbuka dan graduan Institut Pendidikan Guru (IPG) seramai 10,096 guru yang akan ditempatkan pada November. Ini menjadikan jumlah keseluruhan penempatan guru tahun ini seramai 20,141 orang," jelas beliau lagi.
Beliau menjawab soalan dikemuka Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof berhubung jumlah kekosongan guru dan langkah kementerian mempercepatkan proses penempatan guru baharu.