fb fb fb fb fb

ASEAN Ke-47 labuh tirai, Filipina ambil alih tugas Pengerusi 2026

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 28 Oktober - Tirai Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang-Sidang Berkaitan di ibu negara, ditutup secara rasmi hari ini, sekaligus melengkapkan penganjuran Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan penutupnya menyifatkan, penganjuran di Kuala Lumpur sebagai satu penghormatan besar yang telah memberi ruang kepada sesi pertukaran pandangan yang padat dan penuh pencerahan.

Merumuskan hasil mesyuarat, beliau menegaskan bahawa dalam mendepani ketidaktentuan global, ASEAN mesti berpegang teguh kepada prinsip akal budi dan kewarasan, berbanding emosi.

Beliau berkata, Sidang Kemuncak kali ini membuktikan bahawa misi ASEAN masih berfungsi dengan berkesan.

"Kita menghidupkan semula dialog, membina jambatan baharu, dan membuktikan bahawa misi ASEAN, apabila digerakkan dengan kesabaran dan kewarasan, masih berfungsi dengan berkesan.

"kita akui bahawa tiada satu pun kepengerusian mampu memperbetulkan semua kepincangan yang ada dan apa yang penting adalah setiap tindakan berani, setiap langkah kecil, membawa rantau kita semakin hampir kepada harapan dan keadilan", katanya.

Beliau berucap pada majlis penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan penyerahan secara rasmi kepengerusian ASEAN kepada Filipina di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Kemuncak majlis penutup adalah upacara penyerahan rasmi tugas Pengerusi ASEAN kepada Republik Filipina, yang akan bermula pada 1 Januari 2026.

Dalam ucapannya, Datuk Seri Anwar menzahirkan keyakinan penuh beliau terhadap kepimpinan Presiden Ferdinand Marcos Junior.

"Kepada sahabat saya, Presiden Ferdinand Marcos Jr, ketika anda memikul tanggungjawab ini, saya penuh keyakinan bahawa di bawah pimpinan anda yang tenang dan berwibawa, ASEAN akan terus bergerak dengan kejelasan, ketenangan, serta kehangatan dan keanggunan yang sinonim dengan rakyat filipina." ujarnya.

Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan tertinggi kepada semua negara anggota, rakan dialog, dan Sekretariat ASEAN.

Beliau juga menzahirkan terima kasih khas kepada seluruh jentera penganjur dan rakyat Malaysia yang telah mempamerkan watak bangsa terbaik.

"Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia, anda semua telah menyambut tetamu kita dengan kehangatan dan mengingatkan rantau ini bahawa hospitaliti bukan sekadar adat kita tetapi cerminan watak bangsa kita di mata dunia, anda telah memperlihatkan yang terbaik daripada Malaysia", katanya.

Trainee