fb fb fb fb fb

117 syarikat dianugerahkan projek Solar Berskala Besar

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir di persidangan Dewan Rakyat/RTM

KUALA LUMPUR, 28 Oktober - Sebanyak 117 syarikat telah dianugerahkan projek Solar Berskala Besar (LSS) di bawah Suruhanjaya Tenaga dengan jumlah kapasiti mencecah 6,028 megawatt (MW), sejak 31 Ogos lepas.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata negeri Perak mencatatkan jumlah projek LSS tertinggi di Semenanjung iaitu sebanyak 28 projek dengan kapasiti keseluruhan 1,441.3 MW.

Jumlah ini mewakili kira-kira 6 peratus daripada sasaran kapasiti tenaga boleh baharu negara menjelang tahun 2035.

"Di bawah National Energy Transition Roadmap (NETR), Malaysia menyasarkan kapasiti Tenaga Boleh Baharu sekitar 23,000MW, bersamaan dengan 40 peratus daripada jumlah kapasiti pada tahun 2035. Kapasiti terpasang semasa di Negeri Perak dengan 1,441.3 MW, telah menyumbang sekitar 6 peratus daripada sasaran yang ditetapkan," katanya di Parlimen di sini.

Beliau juga memaklumkan pelaksanaan LSS 6 dengan kapasiti hampir 2 gigawatt (GW), bernilai RM6 bilion menerusi pelaburan swasta adalah kesinambungan kejayaan LSS 5 dan LSS PETRA 5+.

Ia dijangka meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu di Semenanjung melebihi 10 GW menjelang 2030.

Sekali gus mengukuhkan sasaran negara bagi mencapai 70 peratus tenaga boleh baharu menjelang tahun 2050 di bawah rangka NETR, seterusnya menggerakkan negara ke arah masa depan tenaga yang lebih hijau dan mampan.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ