fb fb fb fb fb

Malaysia antara pengguna internet paling aktif di rantau ASEAN

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 28 Oktober - Rakyat Malaysia kini menghabiskan purata lapan jam sehari melayari internet, menjadikan negara ini antara pengguna paling aktif di rantau ASEAN, menurut Laporan Ipsos Digital 2025.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa berkata, di sebalik kebebasan digital yang dinikmati, timbul keperluan untuk memupuk tanggungjawab dalam penggunaan ruang siber. 

“Tahun lalu sahaja, kementerian menerima lebih 15,000 aduan berkaitan kandungan berbahaya, berita palsu dan jenayah siber.

“Ini membuktikan bahawa literasi media dan komunikasi beretika bukan lagi satu pilihan sebaliknya merupakan keperluan asas untuk kelangsungan masyarakat digital kita,” katanya.

Beliau membacakan teks ucapan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Media dan Komunikasi 2025 (MENTION2025), di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman.

Terdahulu, MENTION2025 anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menghimpunkan lebih 80 peserta dan pembentang termasuk ahli akademik, pengamal media dan komunikasi, pembuat dasar serta wakil komuniti dalam dan luar negara.

Menurut Mohamad Fauzi, cabaran terbesar ketika ini ialah fenomena maklumat palsu yang bukan sahaja mencemari landskap maklumat negara, tetapi turut mengancam keharmonian sosial serta keselamatan nasional.

Beliau berkata, bagi menangani isu tersebut, kementerian kini dalam proses merangka beberapa kerangka undang-undang dan dasar baharu yang lebih komprehensif dan seimbang.

“Ini termasuk garis panduan etika bagi pempengaruh media sosial bagi memastikan penyebaran kandungan yang bertanggungjawab.

“Selain itu, satu kerangka bagi penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam media yang memastikan teknologi tersebut digunakan secara beretika dan tidak menyalurkan maklumat palsu,” katanya.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN