fb fb fb fb fb

ATM sedia tingkat kawalan di perairan Beting Patinggi Ali

(Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan)

KUALA LUMPUR, 25 Januari- Susulan kehadiran kapal pengawal pantai China di perairan sekitar Beting Patinggi Ali, Sarawak, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedia meningkatkan kawalan di kawasan berkenaan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia bukan saja membabitkan aset milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) malah Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Darat Malaysia (TDM).

Bagaimanapun, beliau tidak menganggap kehadiran kapal pengawal pantai China itu sebagai satu bentuk pencerobohan kerana ia kawasan pertindihan.

Tetapi, aset ATM tetap perlu digerakkan ke perairan sekitar Beting Patinggi Ali bagi mengelak ia dianggap dimiliki negara lain.

"Kita mengawal keadaan dan meletakkan aset di sana supaya ia tidak menjadi 'doktrin estopel' (menghalang individu daripada menuntut sesuatu) iaitu apabila anda meletakkan aset di sana (perairan) itu menjadi milik anda.

"Jadi kitapun meletakkan aset di sana kerana ia kawasan pertindihan yang mana masing-masing akan cuba membuktikan itu adalah kawasan mereka.

"Begitulah masing-masing akan cuba membuktikan ia kawasan mereka dan kitapun akan buktikan dengan meletakkan aset di sana... aset kita lebih dari itu (mencukupi)," katanya.

Beliau memaklumkannya pada sidang media selepas meninjau tapak pembinaan Projek SASAR ATM Sungai Besi di ibu negara.

Projek berkenaan ialah satu daripada agenda teras MINDEF bagi menjaga kebajikan dan kualiti hidup warga kerja pertahanan yang merangkumi anggota tentera, warga awam MINDEF dan veteran ATM.

Ia membabitkan pembinaan lima blok kediaman meliputi 3,500 unit rumah berharga antara RM150,000 hingga RM350,000 mengikut saiz kediaman.



(Datuk Seri Mohamad Hasan meninjau tapak pembinaan Projek SASAR ATM Sungai Besi di ibu negara)

Media Baharu