KUALA LUMPUR, 14 November- Sebanyak RM10 bilion disediakan untuk program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) berbanding RM8 bilion pada tahun lalu.
Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata pemakluman status kelulusan permohonan akan dilakukan menerusi tiga cara iaitu penghantaran surat kepada penerima yang didaftarkan, khidmat pesanan ringkas dan semakan kendiri melalui Portal Rasmi STR .
"Bagi tujuan pengemaskinian maklumat atau permohonan baharu STR, ia juga boleh dibuat secara berkelompok melalui agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pusat Khidmat Wakil Rakyat dan persatuan penduduk yang mewakili komuniti setempat.
"Selain itu, kerajaan juga akan memperhebatkan program turun padang bersama pemimpin komuniti dan pelusuk desa bagi memastikan STR dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan wakil Mas Gading, Mordi Bimol mengenai kaeadah menyemak status permohonan STR terutama bagi pemohon di luar bandar serta peratusan pecahan kaum penerima layak.
Tambah Ahmad lagi, bagi pasangan yang masih dalam proses penceraian , namun masih belum menerima dokumen penceraian yang sah, mereka boleh terus merujuk ke Jabatan Agama Islam Negeri atau Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mempercepatkan proses mendapatkan dokumen .