fb fb fb fb fb

Tubuh PAWE, cadangan bakal dinilai berdasarkan garis panduan KPWKM

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,(KPWKM)  Datuk Nancy Shukri/FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 November-Mana-mana pihak yang berhasrat bagi menubuhkan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di kawasan mereka, perlu mengemukakan cadangan kepada mana-mana Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) yang berhampiran.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Nancy Shukri berkata,  cadangan tersebut akan dinilai dan diperhalusi berdasarkan beberapa kriteria seperti bilangan warga emas, lokasi, pemilihan premis dan komuniti penggerak.

"PAWE ini merupakan sebuah pusat aktiviti yang ditubuhkan melalui pembabitan oleh komuniti dan pertubuhan sukarela kebajikan (PSK).

"Pusat Aktiviti ini bukanlah dioperasikan oleh Kerajaan tetapi disokong oleh Kerajaan melalui penyaluran bantuan kewangan, khidmat nasihat dan sebagainya", kata Nancy ketika menjawab soalan yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Woh berkaitan kewujudan PAWE dan adakah kerajaan bercadang untuk menubuhkan PAWE baharu.

Tambah Nancy sehingga Oktober tahun ini sebanyak 161 PAWE baharu ditubuhkan diseluruh negara dengan penyertaan 50,000 ahli yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama.

Jelas Nancy, bagi tahun 2023, KPWKM telah meluluskan permohonan bagi menubuhkan empat buah PAWE baharu masing-masing di negeri Perak, Sabah, Sarawak dan Terengganu. 

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD