SELAYANG, 13 Julai- 1,184 calon mendapat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 pada peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022.
Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia, Profesor Datuk Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata angka itu meningkat berbanding 874 calon pada STPM 2021.
Tambahnya, lebih membanggakan apabila PNGK Nasional STPM 2022, turut meningkat kepada 2.82 pada tahun lepas berbanding 2.79 pada tahun sebelumnya.
"PNGK Nasional pada tahun ini juga merupakan PNGK Nasional tertinggi sejak dilaksanakan peperiksaan STPM. Seramai 1,184 calon atau 2.84 peratus calon mendapat PNGK 4.00.
Bilangan calon yang mendapat PNGK 4.00 meningkat 310 calon iaitu 874 calon pada tahun 2021 kepada 1,184 calon pada 2022. Daripada calon ini, 1,009 calon atau 85.22 peratus adalah kategori B40," kata Dr. Mohd Ekhwan kepada pemberita pada Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM 2022 hari ini, di sini.
(Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia, Profesor Datuk Dr. Mohd Ekhwan Toriman (paling kiri)
ditemui pemberita pada Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM 2022)
Beliau juga memaklumkan bilangan calon mendaftar untuk menduduki STPM 2022 juga meningkat sebanyak 3.11 peratus ataupun 1,318 calon.
Ia menjadikan jumlah calon mendaftar STPM 2022 adalah seramai 43,687 calon berbanding 42,369 calon mendaftar pada tahun 2021.
Sementara itu, Profesor Datuk Dr. Mohd Ekhwan turut mengumumkan secara keseluruhan, peratusan longgokan PNGK calon STPM 2022 turut meningkat berbanding tahun 2021.
"Dari segi pencapaian PNGK calon, secara keseluruhannya didapati peratusan longgokan calon STPM 2022 pada PNGK 3.75 dan ke atas ialah 9.59 peratus, PNGK 3.0 dan ke atas ialah 42.96 peratus, PNGK 2.74 dan ke atas ialah 56.97 peratus dan PNGK 2.00 dan ke atas ialah 89.75 peratus adalah meningkat berbanding tahun 2021," tambahnya.
Beliau menjelaskan, dengan peningkatan bilangan calon mendapat PNGK tersebut, boleh dijangkakan lebih ramai calon lepasan STPM diterima masuk ke Universiti Awam (UA) pada tahun ini.
Peratusan calon STPM yang mendapat lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran juga MENINGKAT kepada 31,280 calon pada tahun 2022 berbanding 30,160 calon pada tahun 2021.