KEPALA BATAS, 13 Julai - Kerajaan sedang meneliti kajian mengenai model gaji di negara ini.
Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar berkata, perkara itu akan dibentangkan dalam Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), pada Ogos depan.
Menurutnya, kajian masih lagi berada pada tahap permulaan dan setakat ini, model gaji progressif dilihat antara model gaji yang baik.
Bagaimanapun jelasnya, kajian secara holistik akan dilaksanakan sebelum sebarang keputusan berkenaan isu tersebut diputuskan.
"Mengkaji secara terperinci mengenai gaji ini. Sekarang kita masih peringkat permulaan untuk melihat kepada model-model gaji yang lain. Dan satu daripadanya adalah
gaji progresif dan selepas MTEN mungkin kita buat keputusan dari sana. Jadi kita akan lihat perkara ini, tetapi kita tidak memutuskannya. Gaji progresif satu model yang bagus, namun kita perlu melihatnya secara holistik," kata Sivakumar, di sini.
(Sivakumar ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke
Institut Latihan Perindustrian (ILP), di sini)
Sementara itu, beliau berharap lebih banyak ILP di negara ini akan mengikuti jejak langkah ILP Kepala Batas yang melaksanakan program latihan melibatkan peserta Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Tahfiz.
Jelasnya, perkara tersebut akan memastikan pelajar tahfiz mempunyai hala tuju yang lebih jelas selepas menamatkan pengajian.