fb fb fb fb fb

Penanaman padi air masin dalam kajian - MAFS

PETALING JAYA, 13 Julai- Penerokaan penanaman padi air masin di negara sedang dalam peringkat kajian.

Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Datuk Seri Mohamad Sabu pihaknya sedang mengkaji kesesuaian tanah bagi tujuan itu dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Jelasnya, sesi dialog dan perbincangan telah dimulakan antara pakar dari China dan pihak MARDI.

"Pegawai-pegawai saintis China telah datang dua hari lalu dan telah membuat sesi dialog termasuklah Pengarah MARDI yang turut serta dalam perbincangan itu.

Kita akan membawa hasil perbincangan dari aspek benih dan pencarian tanah yang sesuai. Kemudian, untuk kita mulakan itu, kita buat kajian sama ada di Rompin, Pahang atau Kedah dan ada beberapa tempat bergantung jenis tanah serta kajian daripada pihak MARDI," kata Mohamad kepada pemberita dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Agropreneur Agrobank (AAA) 2022, di sini.


(Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Datuk Seri Mohamad Sabu ditemui media
pada Majlis Anugerah Agropreneur Agrobank (AAA) 2022)

Tambah beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan satu lagi projek mega kerajaan dalam masa terdekat.

Projek yang melibatkan peruntukan besar itu adalah bagi meningkatkan pengeluaran padi negara sekali gus dapat mengatasi isu bekalan beras putih.

Media Baharu