fb fb fb fb fb

STPM 2022: 1,184 calon peroleh PNGK 4.00, majoriti calon B40

(Mohd Ekhwan Toriman)

SELAYANG 13 Julai- Seramai 1,184 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022 memperoleh keputusan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 dengan majoriti daripadanya calon kategori B40.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Profesor Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata, pencapaian itu menyaksikan calon yang memperoleh keputusan PNGK 4.00 meningkat berbanding tahun 2021 iaitu seramai 874 orang.

“Daripada 1,184 calon ini, seramai 1,009 calon atau 85.22% daripadanya adalah daripada kategori B40,” katanya pada sidang media pengumuman Keputusan STPM 2022 di sini hari ini.

Sementara itu, PNGK Nasional STPM 2022 juga meningkat sebanyak 0.03 mata berbanding tahun lalu dan merupakan tertinggi sejak pelaksanaanya.

"PNGK Nasional dicapai pada tahun 2022 ialah 2.82, berbanding 2.79 pada tahun 2021. PNGK Nasional ini juga merupakan PNGK Nasional tertinggi sejak dilaksanakan peperiksaan STPM," katanya.

Mohd Ekhwan juga memaklumkan bilangan calon mendaftar untuk menduduki STPM 2022 meningkat sebanyak 3.11% atau 1,318 calon, menjadikan jumlah calon mendaftar STPM 2022 adalah seramai 43,687 calon berbanding 42,369 calon mendaftar pada tahun 2021.

Sementara itu, peratusan longgokan PNGK calon STPM 2022 turut meningkat berbanding tahun 2021.

"Dari segi pencapaian PNGK calon, secara keseluruhannya didapati peratusan longgokan calon STPM 2022 pada PNGK 3.75 dan ke atas ialah 9.59%, PNGK 3.0 dan ke atas ialah 42.96%, PNGK 2.74 dan ke atas ialah 56.97% dan PNGK 2.00 dan ke atas ialah 89.75% adalah meningkat berbanding tahun 2021," katanya.

Beliau menjelaskan, dengan peningkatan bilangan calon mendapat PNGK tersebut boleh dijangkakan lebih ramai calon lepasan STPM diterima masuk ke Universiti Awam tahun ini.

Peratusan calon STPM 2022 yang mendapat lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran juga meningkat kepada 31,280 calon berbanding 30,160 calon pada tahun 2021.

(Sidang media pengumuman Keputusan STPM 2022 di Selayang, Selangor)

Media Baharu