BANGI, 13 Julai- Radio Televisyen Malaysia (RTM) perlu kekal relevan dan bergerak seiring dengan perubahan industri media kontemporari masa kini.
Ketua Pengarah Penyiaran, Suhaimi Sulaiman berkata ia penting bagi memastikan agenda kerajaan untuk membina sebuah negara bangsa diikuti dengan jelas oleh rakyat.
"Saya sangat bangga berada di RTM kerana kakitangannya bukan sahaja kreatif tetapi sangat pandai dalam 'story telling' (penceritaan). Team produksi telah menyahut seruan itu dan mengubah cara penyampaian berita. Itu membuatkan ia relevan. Kita tidak ada pilihan selain mengikut selera penonton," katanya kepada pemberita selepas sesi ucap tama Persidangan Antarabangsa Komunikasi, Budaya dan Media Kontemporari (GLOCOM) 2023 di sini.
Dalam pada itu, beliau yakin GLOCOM 2023 mampu menjadi platform terbaik kepada RTM dan generasi muda.
Hubungan sinergi antara pengamal kolaborasi media dan golongan akademik akan membentuk jaringan kukuh sekali gus memberi nilai tambah kepada RTM sebagai media kontemporari.
(Ketua Pengarah Penyiaran, Suhaimi Sulaiman berkata ia penting bagi memastikan agenda
kerajaan untuk membina sebuah negara bangsa diikuti dengan jelas oleh rakyat)