fb fb fb fb fb

Kerajaan Melaka akan perluas pasukan menangani buli

(Foto Fail)

MELAKA, 13 Julai- Pasukan petugas (task force) bagi menangani kes buli di Melaka akan diperkasa dan diperluaskan.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, 'task force' yang diwujudkan menerusi program pembangunan sahsiah Anak Yang Baik Lagi Cerdik (ABC) itu akan menjelajah ke sekolah-sekolah seluruh negeri bagi memberi pendedahan dan penerangan kepada pelajar untuk menjauhi kegiatan buli.

Menurut Rahmad, pasukan petugas berkenaan yang telah diwujudkan sejak beberapa tahun lalu kini ditambah baik dengan membawa kaunselor ke sekolah-sekolah untuk memberikan nasihat kepada pelajar.

"Jadi kita akan membuat pemeriksaan secara mengejut ke sekolah-sekolah, asrama yang kita jangkakan ada kes buli atau terdapat kes buli.

"Selain memberi teguran, kita juga memberi kaunseling kepada anak-anak ini supaya menjadi pelajar yang baik.

"Mereka akan ke sekolah berkenaan tanpa mengira waktu siang atau malam.

"Pasukan berkenaan diharap dapat mengurangkan kes buli di sekolah," katanya selepas tetamu pada program Apa Khabau YB di konti siaran MELAKAfm di sini.

Ketika ini pengisian program lebih tertumpu kepada sekolah berasrama penuh khususnya yang terdapat kes buli dan kemudiannya akan diperluas ke sekolah-sekolah harian.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, program berkenaan menerapkan modul 5P kepada pelajar yang merangkumi aspek Penegasan, Penghukuman, Penyedaran, Pemerhatian dan Penyuraian.

Dalam pada itu, Rahmad berkata sambutan Maal hijrah di Melaka akan diadakan secara menyeluruh ke seluruh negeri sepanjang Julai dan Ogos ini.

Ini termasuk program berskala besar yang akan dijadikan subsektor agama sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024) bagi menarik kedatangan pengunjung dalam dan luar Melaka.

"Sepanjang Julai dan Ogos ini, kita telah mengaturkan sebanyak 18 program. Program itu merangkumi semua lapisan masyarakat dan juga semua daerah dalam Melaka," katanya.


(Foto Fail)

Media Baharu