fb fb fb fb fb

Agong tiba untuk lawatan negara pertama ke Rusia

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berangkat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Vnukovo-2, Moscow hari ini/Foto Facebook Istana Negara

MOSCOW, 5 Ogos - Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berangkat tiba di sini pada Selasa untuk memulakan Lawatan Negara enam hari ke Rusia.

Pesawat khas yang membawa Seri Paduka Baginda mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Vnukovo2 pada 2.20 petang (7.20 malam waktu Malaysia).

Keberangkatan tiba Sultan Ibrahim disambut oleh Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi Rusia Valery Falkov dan Pemangku Pengarah Jabatan Protokol Negara Kementerian Hal Ehwal Luar Rusia Georgiy Kuznetsov.

Turut menyambut keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Luar Rusia Alexander Pankin dan Duta Besar Rusia ke Malaysia Nayl Latypov.

Hadir sama menyertai sambutan ketibaan ialah Menteri Pertahanan yang juga Menteri Pengiring Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Duta Besar Malaysia ke Rusia Datuk Cheong Loon Lai.

Lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan dan Seri Paduka Baginda kemudian berkenan melintasi barisan kawalan kehormatan, diiringi oleh Falkov dan Kuznetsov, sebelum disambut oleh tetamu kenamaan dari Malaysia dan Rusia.

Selepas perarakan keluar kawalan kehormatan, Sultan Ibrahim berangkat ke hotel penginapan di Moscow.

Di hotel berkenaan, Seri Paduka Baginda disambut oleh petugas Kedutaan Malaysia dan keluarga mereka serta 30 pelajar Malaysia.

Semasa lawatan enam hari, Sultan Ibrahim akan diberi sambutan negara di Kremlin pada Rabu, disusuli pertemuan rasmi dengan Presiden Rusia Vladimir Putin sebelum menghadiri Majlis Santapan Negara yang dihoskan Putin.

Yang di-Pertuan Agong turut dijadualkan melawat Pusat Pembangunan Teknologi Automotif Rusia (NAMI) serta Hab Teknologi dan Inovasi Tochka Kipeniya.

Selepas menamatkan program di Moscow, Seri Paduka Baginda akan berangkat ke Kazan di Republik Tatarstan untuk segmen kedua Lawatan Negara.

Sultan Ibrahim yang menaiki takhta pada 31 Jan 2024, mengadakan lawatan buat julung-julung kalinya ke Rusia atas undangan Putin.

Kunjungan ini disifatkan sebagai bersejarah kerana Seri Paduka Baginda merupakan Ketua Negara Malaysia pertama mengadakan Lawatan Negara ke Rusia sejak terjalinnya hubungan diplomatik pada 1967.

Lawatan ini adalah yang keempat dilaksanakan oleh Sultan Ibrahim selepas Singapura, China dan Brunei. - BERNAMA

GRACE AISYAH KEDAYAN