fb fb fb fb fb

Misi MOSTI untuk memperkukuh ekosistem teknologi di Malaysia

MOU pelaburan selaras dengan Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS) / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 5 Ogos - Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) memeterai perjanjian pelaburan bersama Oncode Scientific Sdn Bhd (Oncode), firma teknologi kesihatan tempatan dengan pengkhususan dalam diagnostik molekul dan perubatan ketepatan.

Kerjasama itu menandakan pencapaian penting dalam memperkukuh ekosistem teknologi dan langkah yang signifikan dalam menyokong misi MOSTI untuk mengukuhkan ekosistem teknologi mendalam di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan MTDC, Mohammad Hazani Hassan berkata, pelaburan itu akan menyokong usaha Oncode dalam memperluas diagnostik peribadi dan menubuhkan makmal diagnostik molekul di hospital tempatan, selaras dengan Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS).

''Perkongsian dengan Oncode akan membawa lebih banyak pelaburan dan suntikan modal yang diberikan sebahagiannya untuk modal kerja tetapi yang paling penting ialah kita mahu modal itu digunakan untuk penyelidikan lanjut.

''Bukan sahaja mereka boleh mengembangkan syarikat mereka, malah boleh mengembangkan lebih banyak jenis produk dan menawarkannya kepada pasaran,'' katanya selepas majlis pemeteraian perjanjian pelaburan itu bersama Ketua Pegawai Eksekutif pengasas Oncode Profesor Madya Dr Lim Su Wen.

Majlis tersebut turut disaksikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang.

Terdahulu dalam ucapannya, Chang berkata, MOSTI sentiasa bersedia menyokong inisiatif yang memanfaatkan rakyat.

Ini meliputi perkhidmatan kesihatan yang lebih baik, peluang pekerjaan berkemahiran tinggi mahupun teknologi tempatan yang mampu bersaing pada peringkat global.

HASRON BIN HASSAN