KUALA LUMPUR, 5 Ogos - Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan memastikan setiap dasar ekonomi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di bawah seliaannya akan dilaksanakan sebaik mungkin.
Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, ia bagi memacu pertumbuhan Malaysia yang mampan dan inklusif, yang akan memperkukuh tadbir urus Kerajaan, meningkatkan kualiti hidup rakyat,dan membuka lebih banyak peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Melalui inisiatif ini, MITI beriltizam memacu pelaksanaan dasar strategik bagi memastikan aspirasi RMK13 tercapai, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai pemacu potensi global,” katanya.
MITI turut menyokong penuh mekanisme pemantauan RMK13 yang dipertingkat melalui Sistem Pemantauan Pelan Pelaksanaan Dasar (PPD).
“Pelaksanaan sememangnya diutamakan melalui pelbagai usaha seperti Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia (IMFC) yang memudahkan perjalanan pelabur dan Unit Pemantauan Pelaksanaan bagi Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.
“MITI juga melaporkan tahap kemajuan dan keberhasilan projek secara konsisten melalui Kad Laporan MITI yang dibentangkan kepada media setiap tiga bulan,” katanya.
“MITI juga berpandangan positif terhadap komitmen kerajaan untuk meneruskan Dana Pelaburan Bersama Strategik (CoSIF) di bawah NIMP 2030 bagi menyokong pelaburan dalam sektor bernilai tinggi.
Pelaksanaan RMK13 akan disokong menerusi dasar strategik utama di bawah MITI termasuk NIMP 2030, Strategi Semikonduktor Nasional (NSS), Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) dan Strategi Pelaburan Hijau (GIS).
Secara khusus, pihak MITI akan mempergiatkan usaha-usaha untuk melonjakkan pertumbuhan sektor pertumbuhan tinggi bernilai tinggi (HGHV) melalui pelaksanaan NIMP 2030 dan NSS.
“Inisiatif utama termasuklah meletakkan Malaysia sebagai hab semikonduktor berteknologi tinggi dengan sasaran nilai eksport produk elektrik dan elektronik (E&E) mencapai RM1.0 trilion menjelang 2030,” katanya.
MITI juga akan menggiatkan pembangunan taman perindustrian halal yang bakal menyumbang kepada peningkatan sasaran eksport halal negara sebanyak RM80 bilion menjelang 2030.
Menurut kementerian itu, Rangka Tindakan Perdagangan Nasional 2.0 yang akan diperkenalkan akan memastikan dasar dan strategi perdagangan dilaksanakan dengan berkesan.
“MITI akan terus menggalakkan pemain industri dan pengeksport untuk memanfaatkan 18 perjanjian perdagangan bebas (FTA) sedia ada termasuk Perkongsian Komprehensif Ekonomi Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif Dan Progresif Bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP),” katanya.