fb fb fb fb fb

Legasi Chung Chen Sun diabadikan dalam pameran Arkib Seni Negara

Foto Balai Seni Negara

KUALA LUMPUR, 5 Ogos - Legasi tokoh seni dakwat Cina dan pendidik tersohor negara, mendiang Chung Chen Sun terus diabadikan menerusi pameran khas Projek Arkib: Chung Chen Sun yang sedang berlangsung di Galeri Potret, Balai Seni Negara, di sini.

Pameran yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Balai Seni Negara itu menghimpunkan perjalanan hidup, pemikiran dan sumbangan beliau dalam bidang seni.

Antara yang dipaparkan adalah foto, lakaran, katalog dan rakaman temu bual mendiang. 

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata pameran ini bukan sahaja mengangkat sumbangan mendiang dalam seni lukisan dakwat dan pendidikan, malah menjadi platform memperkukuh sejarah seni tempatan.

“Pameran ini adalah bentuk penghormatan terhadap jasa besar mendiang Chung Chen Sun dalam memperkasakan seni visual negara serta mendidik generasi pelukis tempatan,” katanya semasa merasmikan pameran tersebut, hari ini.

Chung yang merupakan pengasas Malaysian Institute of Art (MIA) banyak menyumbang kepada pembangunan seni Malaysia dan dikenang sebagai tokoh penting yang merintis pendidikan seni formal di negara ini.

Menariknya, pameran ini disusun berasaskan falsafah Konfusianisme yang dipegang mendiang, dengan penekanan kepada nilai moral tiga ajaran utama iaitu Daoisme, Konfusianisme dan Buddha – selaras dengan pendekatan seni dan pemikirannya.

Ia dibahagikan kepada enam segmen merangkumi pengaruh seni Cina, modenisasi lukisan dakwat, peranan dalam pendidikan seni, sumbangan sebagai penderma karya serta nilai kekeluargaan dan keperibadian beliau.

Majlis perasmian turut menyaksikan pelancaran dua penerbitan penting iaitu katalog Projek Arkib: Chung Chen Sun dan buku Chung Chen Sun: Seventy Years of Art, sempena ulang tahun kelahiran ke-90 mendiang.

Kedua-dua bahan ini dihasilkan sebagai rujukan sejarah seni dan warisan negara untuk tatapan generasi akan datang.

Pameran tersebut dibuka kepada orang ramai sehingga 1 September ini.

GRACE AISYAH KEDAYAN