fb fb fb fb fb

Statitistik keciciran pelajar orang Asli menurun - JAKOA

BANGI, 15 Julai- Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) sentiasa komited menangani isu keciciran pelajar orang asli pada peringkat sekolah menengah.

Menurut Ketua Pengarahnya, Sapiah Datuk Mohd Nor, selepas pelbagai usaha dilaksana, statistik kadar keciciran pelajar orang asli semakin menurun. Sebanyak 203 keciciran pelajar dicatat pada 2022 berbanding 903 pada 2018.

Tegasnya, keluarga memainkan peranan penting dalam memberi galakan kepada pelajar untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

"Keciciran ini sebenarnya perlu ada sistem sokongan daripada keluarga. Keluarga memainkan peranan penting. Apabila pelajar tamatkan satu tahap pendidikan, dia mesti menyambung pendidikannya dan kami di jabatan akan sentiasa menekankan kepada para ibu bapa tentang betapa pentingnya pendidikan ini," kata beliau kepada pemberita RTM pada Majlis Anugerah Murid Cemerlang Orang Asli (MAMCOA) 2021, di sini.

Seramai 76 pelajar orang asli di seluruh negara yang mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2021 diraikan pada majlis tersebut.

Pelajar-pelajar yang ditemui menyatakan penghargaan atas usaha kerajaan dalam memberi peluang pendidikan terbaik kepada mereka.

Pelajar, Nurul Alieya Syuhada Idrus, Nur Natasha Zaidi dan Tomy Kana menyatakan rasa syukur dengan peluang yang diberikan kerajaan untuk mendapatkan pendidikan.

"Terima kasihlah kepada JAKOA yang tanggung saya belajar selama ini di Sekolah Berasrama Penuh (SBP). Saya selepas ini bercadang nak sambung ke arah bidang perubatan, maka saya akan mengambil aliran asasi sains hayat," kata Alieya kepada RTM.

"Apa yang memotivasikan saya untuk capai keputusan 10A ialah saya tidak sampai hati melihat kesusahan ibu ayah saya bekerja. Selain itu, saya juga sebagai anak sulung perlu ambil tanggungjawab dan amanah untuk menjadi contoh terbaik kepada adik-adik saya," luah Natasha kepada RTM.

"Saya rasa pendidikan satu benda yang penting dalam hidup untuk kita melangkah lebih jauh. Denganpendidikan kita boleh ubah nasib kita sendiri dan ubah nasib keluarga."


(Penerima anugerah, Nurul Alieya Syuhada Idrus, Nur Natasha Zaidi dan Tomy Kana)

Mereka juga berhasrat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi untuk mengubah nasib keluarga ke arah lebih baik.

Media Baharu