BANGI, 15 Julai- Kualiti pendidikan bagi masyarakat orang asli sentiasa menjadi fokus utama kerajaan.
Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata pelbagai usaha dilaksana bagi menyaksikan lebih ramai generasi muda orang asli dapat melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi.
Bagi merealisasi hasrat itu, sebanyak RM59.4 juta diperuntuk kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dalam usaha mendokong dasar pendidikan negara.
Belia orang asli juga dialukan menyertai Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam usaha menyumbang pertumbuhan ekonomi, kemajuan teknologi dan mobiliti tenaga kerja global.
"Kita juga mempunyai program TVET. Setakat ini, ada 679 belia orang asli yang ambil inisiatif sambung pengajian dalam bidang TVET. Saya kira dua cabang laluan akademik dan TVET makin ramai anak-anak orang asli berjaya dalam pendidikan. JAKOA satu organisasi kerajaan yang saya kira giat berusaha meningkatkan kualiti pendidikan anak orang asli," kata Mahdzir ditemui pemberita RTM pada Majlis Anugerah Murid Cemerlang Orang Asli (MAMCOA) 2021, di sini.
Tambahnya, peruntukan tersebut merangkumi penyediaan pengangkutan ke sekolah, pakaian sekolah, wang saku untuk pelajar sekolah menengah dan keperluan diri bagi pelajar asrama.
(Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Seri Mahdzir Khalid menyempurnakan
penyampaian anugerah kepada pelajar orang asli yang cemerlang dalam pendidikan)