fb fb fb fb fb

Bantuan RM68,050 kepada 127 rumah terjejas ribut Selasa lepas

KANGAR, 15 Julai - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyampaikan bantuan bencana sebanyak RM68,050 kepada semua 127 rumah yang terjejas ribut pada Selasa lalu.

Setiap ketua keluarga atau wakil menerima antara RM300 hingga RM4,000 bergantung kepada kerosakan kediaman masing-masing.

Bantuan itu sebagai tambahan kepada peruntukan membaiki rumah yang disalurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man bantuan berkenaan diharap dapat meringankan beban setiap penduduk terjejas dalam menjalani kehidupan seharian selepas bencana ribut.

Jumlah bantuan yang disalurkan ini hasil penilaian terperinci yang telah dibuat antara pihak MAIPs dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dua agensi yang terlibat dalam menyelaras setiap bantuan ketika bencana berlaku di Perlis.

(Azlan bercakap kepada pemberita selepas majlis penyampaian Bantuan Bencana Ribut
oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat di Auditorium Angkatan Pertahanan Awam Negeri)

"Biasanya melalui sistem yang wujud itu, mekanisme penyelarasan yang ada, maklumat-maklumat berkaitan dengan mangsa-mangsa ini kita dapat kumpulkan dan diselaraskan. Jadi pada hari ini, pihak MAIPs dan pihak JKM sebenarnya sudah pun turun ke kawasan, yang berkenaan dan bentuk-bentuk bantuan telah diproses sebenarnya oleh kedua-dua agensi ini. Kadang-kadang ada berlaku pertindihan sedikit dimana-mana, tetapi itu kita boleh selaraskan dan yang hari ini JKM sendiri telah menyalurkan bantuan-bantuan ini kepada mangsa-mangsa ribut yang berkenaan," kata Azlan di sini.

Berikutan cuaca tidak menentu dengan hujan dan angin kencang yang berlaku ketika ini, penduduk negeri ini dinasihat berwaspada dan sentiasa peka dengan keadaan sekeliling terutamanya ketika berlakunya bencana.

Media Baharu