KUALA LUMPUR, 10 September - Statistik perdagangan perkhidmatan antarabangsa perlu disesuaikan dengan pendigitalan, model perniagaan baharu dan perubahan aliran pelaburan.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata sistem statistik ASEAN perlu kekal relevan, boleh dibandingkan dan diyakini bagi menyokong keputusan berasaskan bukti serta pertumbuhan serantau yang mampan.
“Menerusi Mesyuarat ke-12 Kumpulan Kerja mengenai Statistik Perdagangan Perkhidmatan Antarabangsa (WGSITS12), ia merupakan platform penting bagi ASEAN untuk mengukuhkan kerjasama, meningkatkan kebolehbandingan, serta memperbaiki kualiti dan ketepatan masa statistik perdagangan perkhidmatan sejajar piawaian antarabangsa,” katanya menerusi kenyataan.
Mesyuarat itu menilai pencapaian terdahulu selain menyumbang kepada penyelarasan inisiatif statistik ASEAN dengan Pelan Strategik Komuniti Ekonomi ASEAN 2026–2030 yang bakal diperkenalkan, serta visi pembangunan pasca-2025.
“Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 menegaskan kesediaannya untuk terus menyokong usaha bersepadu, bagi memastikan statistik perdagangan perkhidmatan di seluruh rantau kekal inovatif, terangkum dan berdaya tahan,” jelasnya.
Mesyuarat berkenaan turut mengambil maklum prestasi kukuh perdagangan perkhidmatan antarabangsa ASEAN pada 2024, yang meningkat 12.2 peratus kepada AS$1.3 trilion.
WGSITS12 itu telah berlangsung pada 8 hingga 9 September di Port Dickson, Negeri Sembilan, dengan kehadiran 22 peserta daripada negara anggota ASEAN (AMS), selain wakil Malaysia dan Sekretariat ASEAN (ASEANstats).