KUALA LUMPUR, 10 September – Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, menegaskan kerajaan sentiasa komited untuk memperkukuh kedudukan fiskal negara, namun pada masa yang sama memastikan kebajikan rakyat tidak terjejas.
Beliau berkata, langkah-langkah meningkatkan hasil kerajaan akan dilaksanakan secara berhati-hati dengan mengambil kira keperluan fiskal negara tanpa menambah beban kepada rakyat.
"Kerajaan sentiasa komited untuk menggalas tanggungjawab memperkukup kedudukan fiskal negara, namun pada masa sama masih tetap memastikan kebajikan rakyat terus terperihara.
Langkah-langkah yang telah diambil oleh kerajaan bagi meningkatkan hasil yang dirancang secara prinsip ini akan dilaksana secara berhati-hati, melibatkan, melibat urus dengan pihak berkepentingan mengambil kira keperluan fiskal negara. Namun pada masa sama tidak membebankan rakyat dan generasi akan datang," katanya.
Tambah beliau, pelaksanaan 'High Value Goods Tax (HVGT)' turut digabungkan bersama semakan semula kadar cukai jualan serta peluasan skop cukai perkhidmatan (SST) yang berkuat kuasa 1 Julai 2025.
Sementara itu, pengenaan cukai ke atas Low Value Goods (LVG) yang dilaksanakan sejak 1 Januari 2024 pula adalah pendekatan berbeza bagi melindungi peniaga tempatan.
Katanya, sebelum LVG dilaksanakan, peniaga dalam negara perlu menanggung cukai import dan kos operasi lain sedangkan peniaga luar negara boleh menjual terus secara dalam talian tanpa cukai.
"Ini memberi kesan harga jualan yang lebih murah oleh peniaga luar berbanding peniaga tempatan. Dengan adanya pelaksanaan LVG, ia mewujudkan peluang persaingan yang lebih adil atau level playing field," jelasnya.
Menurut beliau lagi, hasil yang diperoleh melalui peluasan SST dan pengenaan cukai LVG bukan sahaja dapat memperkukuh kedudukan fiskal negara tetapi juga akan disalurkan kembali kepada rakyat melalui pelbagai dasar dan inisiatif kerajaan dalam jangka pendek serta jangka panjang.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Senator Datuk Ahmad Ibrahim di Dewan Negara, hari ini.