ALOR SETAR, 10 September- Keputusan Kerajaan Persekutuan membangunkan beberapa kawasan jelapang padi di Kedah khususnya di kawasan bandar dijangka merancakkan lagi aktiviti ekonomi negeri itu, jelas Timbalan Dekan Ghazali Shafie Graduate School of Government, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Kamarul Azman Khamis.
Beliau berkata, langkah itu mencerminkan keprihatinan kerajaan dan memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat serta negeri Kedah.
"Hal ini akan merancakkan lagi pembangunan ekonomi, membuka peluang pekerjaan dan memberi pendapatan kepada anak tempatan. Ia juga mampu menjamin kestabilan politik, ekonomi dan sosial sekiranya kerajaan negeri dan Persekutuan bergerak seiring," katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika merasmikan Program Madani Rakyat di Kompleks Sukan Majlis Daerah Baling baru-baru ini, memaklumkan Jemaah Menteri bersetuju memperluaskan kawasan pembangunan dengan mengurangkan sebahagian kawasan jelapang padi.
Keputusan itu dibuat hasil rundingan bersama Kerajaan Negeri Kedah yang menyuarakan hasrat mengurangkan keluasan jelapang padi di kawasan bandar bagi memberi ruang kepada projek pembangunan lain termasuk industri, perumahan dan komersial.