BANTING, 18 April - Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) Tahun 2022 menunjukkan peningkatan dengan gred purata nasional adalah 3.13 berbanding 3.15 pada 2021.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata bagi gred purata STAM tahun 2022 bagi sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pula adalah 2.91 berbanding 2.92 tahun 2021 iaitu peningkatan sebanyak 0.01.

"Pencapaian peperiksaan STAM bagi sekolah KPM telah menunjukkan kualiti yang lebih baik. Saya percaya kejayaan ini adalah hasil usaha gigih semua pihak dalam meningkatkan kualiti pengajaran guru, penyediaan kemudahan bilik darjah yang kondusif, bekalan buku teks dan lain-lain keperluan yang menyokong proses pembelajaran murid,” katanya pada majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STAM Tahun 2022 di Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Rahimah Banting, di sini.
Fadhlina berkata, calon peperiksaan STAM Tahun 2022 yang berdaftar adalah 4,634 orang meliputi calon sekolah KPM seramai 1,363 orang; Sekolah Menengah Agama Negeri (1,941 orang); Sekolah Menengah Agama Rakyat (259 orang); Sekolah Menengah Swasta (36 orang) dan calon persendirian (1,035 orang).
Tambah Fadhlina, sijil peperiksaan STAM bukan sahaja diiktiraf untuk kemasukan ke program Ijazah Pertama di Universiti Al Azhar Al Sharif, Mesir tetapi juga untuk kemasukan ke universiti tempatan.
"Sijil STAM turut mendapat pengiktirafan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam, iaitu setaraf dengan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
"Ini bermakna pemegang sijil STAM juga layak untuk memasuki pekerjaan dalam sektor perkhidmatan awam seperti pemegang sijil STPM," katanya.