fb fb fb fb fb

RM250 juta peruntukan tambahan untuk selenggara Jalan Persekutuan - Anwar

(FOTO HIASAN)

PUTRAJAYA, 18 April - Kementerian Kewangan akan menambah peruntukan sebanyak RM250 juta bagi penyelenggaraan berkala Jalan Persekutuan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peruntukan tambahan seperti diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kewangan Negara yang dihadiri semua Menteri Besar dan Ketua Menteri atau wakil dari setiap negeri itu bagi menangani masalah jalan raya berlubang yang menjadi antara penyumbang kepada kemalangan.

Beliau berkata, peruntukan tambahan itu juga akan dikhususkan untuk manfaat kontraktor-kontraktor kecil Bumiputera.

(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis
Kewangan Negara Tahun 2023 di Kementerian Kewangan / FOTO MOF)

"Penambahan ini menjadikan peruntukan keseluruhan penyelenggaraan berkala Jalan Persekutuan meningkat kepada RM1 bilion berbanding RM750 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2023.

"Dengan mengambil kira kemampuan kewangan semasa, Kerajaan Persekutuan tetap terus komited untuk memenuhi keperluan penyelenggaraan Jalan Persekutuan," katanya menerusi kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat tersebut di sini, hari ini.

Datuk Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan turut bersetuju untuk menambah baik penggunaan peruntukan di bawah Pemberian Penyelenggaraan Jalan Negeri bagi menyelenggara jalan dan juga kerja-kerja lain yang berkaitan di kawasan perumahan berpagar dan mempunyai kawalan keselamatan.

Peruntukan turut melibatkan kerja-kerja penggantian papan tanda nama jalan dan lorong bagi jalan yang melibatkan Jalan Kampung, Jalan Taman dan papan-papan tanda jalan lain selain daripada penunjuk arah.

"Kerajaan Negeri disaran untuk memberi keutamaan kepada kontraktor Kelas G1 hingga G4 bagi kerja-kerja penyelenggaraan jalan di negeri masing-masing dan tidak tertumpu kepada beberapa syarikat konsesi besar sahaja.

"Langkah itu bertujuan untuk membantu kitaran ekonomi kontraktor-kontraktor kecil dengan lebih adil dan secara tidak langsung dapat merangsang pertumbuhan ekonomi negara lebih tuntas," katanya.

Media Baharu