(Iklan Raya UMK 2023 mendapat kerjasama daripada Persatuan
Orang Pekak dan Bisu Negeri Kelantan)
KOTA BHARU, 18 April- Iklan raya bercorak kekeluargaan merupakan antara genre pilihan penonton di Malaysia dan sering ditunggu setiap kali tibanya perayaan Aidilfitri.
Universiti Malaysia Kelantan (UMK) turut tidak ketinggalan dalam menghasilkan karya tersebut dengan mengekalkan dialek Kelantan.
Pengarah Pusat Komunikasi Korporat UMK, Mohd Adzwan Kamaruzaman berkata, Iklan Raya UMK 2023 ini menampilkan kelainan dengan menghasilkan filem pendek berdurasi hampir 7 minit, berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya.
Katanya, penghasilan iklan raya yang disiarkan di media sosial UMK itu telah memasuki tahun ketiga dan menyasarkan sebanyak 50,000 tontonan.
“Penghasilan video raya ini merupakan idea asal yang diterbitkan oleh Issey Fazlisyam dengan kerjasama antara UMK dan agensi berkaitan seperti Persatuan Orang Pekak dan Bisu Negeri Kelantan dan kita tonjolkan ini adalah dua selebiriti tanah air yang mana Issey Fazlisyam dan Ayie Hushairi bersama dengan Alumni UMK,”kata Mohd Adzwan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program penyerahan bakul raya kepada Kelab Media Kelantan Darulnaim (KEMUDI) dan tayangan video ekslusif Raya UMK ‘Ayoh Pok Jak’ di Jabatan Penyiaran Kelantan, Kota Bharu.
Turut hadir, Pengarah RTM Kelantan merangkap penasihat KEMUDI, Wan Azhan Wan Hamat dan Presiden, Majidah Ismail.
Mengulas lanjut, pihaknya berharap penonton menikmati jalan cerita yang mengisahkan seorang anak muda, Jak berdepan cabaran menghasilkan rakaman ucapan hari raya daripada ayahnya yang merupakan seorang pekak dan bisu dan ego dalam menunjukkan kasih sayang terhadap anak.
Sementara itu, Wan Azhan berkata, walaupun hanya menggunakan kepakaran dan kemahiran pihak universiti sepenuhnya, ia boleh dikatakan setaraf dengan terbitan komersial yang lain dan berupaya dikembangkan lebih meluas.
"Kita tidak sangka iklan raya ini dihasilkan UMK dengan keadaan yang naratifnya yang dibawa dengan cukup lengkap. Walaupun durasinya 6 minit lebih tetapi kita dapat merasakan perjalanan cerita itu yang panjang dan memberikan sesuatu kesan yang mendalam,"kata Wan Azhan.
(Pengarah Pusat Komunikasi Korporat UMK, Mohd Adzwan Kamaruzaman)
(Program penyerahan bakul raya kepada KEMUDI dan tayangan
video ekslusif Raya UMK ‘Ayoh Pok Jak’)