BINTANGOR, 22 Januari- Pembinaan Stadium Bola Keranjang Bintangor yang menelan kos berjumlah RM3.4 juta akan siap sepenuhnya pada penghujung tahun 2025.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, pembinaannya kini sedang dalam penghujung fasa ketiga dan menunggu kelulusan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk aspek keselamatan bangunan.
Jelasnya, strukrut stadium hampir siap dibina, manakala pada fasa keempat kelak proses memasang tempat duduk penonton, papan markah dan sebagainya akan bermula.
"Stadium Bola Keranjang Bintangor bakal menjadi bangunan ikonik yang terletak di tengah-tengah bandar Bintangor serta dekat dengan penduduk.
"Apabila stadium ini siap kelak, ia akan dijadikan sebagai pusat sukan yang penting di kawasan ini, di samping untuk kegunaan penduduk menjalankan pelbagai program yang dirancang,"katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat lawatan di stadium berkenaan.
Tambah Datuk Ding, stadium itu juga dapat dijadikan sebagai platform bagi Meradong, Sarikei dan kawasan sekitar dalam melahirkan lebih ramai bakat muda dalam sukan, khususnya bola keranjang.