fb fb fb fb fb

ST dan TNB teruskan siasatan lanjut berhubung gangguan bekalan elektrik

KUALA LUMPUR, 31 Julai- Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) masih menjalankan siasatan berhubung gangguan bekalan elektrik di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia berlaku 27 Julai lalu.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan memaklumkan punca kejadian, siasatan turut meneliti sama ada insiden mematuhi Standard Prestasi Perkhidmatan (GSL) TNB atau sebaliknya.

Ia seterusnya akan menjadi asas penentuan sama ada pelanggan terlibat layak diberi rebat atau tidak.

"Sekiranya standard gagal dipatuhi, penalti akan dikenakan dalam bentuk rebat kepada pengguna terjejas.

Keputusan muktamad kelayakan pelanggan untuk mendapatkan rebat tertakluk kepada hasil siasatan," kata kenyataan itu.

GSL merupakan dokumen Standard Prestasi Perkhidmatan yang telah ditetapkan ST bagi memastikan kualiti dan perkhidmatan elektrik TNB dalam keadaan terbaik.


(FOTO BERNAMA)

Dalam kejadian tersebut, gangguan bekalan elektrik tercetus bermula pukul 12.39 tengah hari, menjejaskan sekitar sejuta pengguna di beberapa negeri di Semenanjung.

TNB turut mengesahkan berlaku gangguan bekalan elektrik itu berpunca daripada kerosakan satu peralatan di Pencawang Masuk Utama (PMU) Yong Peng North di Yong Peng, Johor.

Bekalan berjaya dipulihkan secara berperingkat seawal 20 minit hingga 2 jam 21 minit, tidak melebihi GSL terkini diluluskan pada September 2020.

 

Media Baharu