fb fb fb fb fb

Program Mojing Kenin, suntik semangat anak-anak Penan untuk hadir ke sekolah

BELAGA, 31 Julai- Anak-anak Penan diseru untuk hadir ke sekolah dan mendapat pendidikan yang sewajarnya demi masa depan yang lebih baik.

Mengingatkan perkara tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri Murum, Kennedy Chukpai Ugon memberitahu anak-anak Penan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bakun pada program Mojing Kenin anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tatau Sebauh serta PPD Belaga.

Malah ujarnya kejayaan dan masa depan seseorang itu terletak pada diri sendiri, bukan daripada bantuan yang disediakan oleh pihak lain.

Oleh itu, anak-anak Penan di kawasan Murum yang bersekolah di SMK Bakun perlu menetapkan pendirian untuk meneruskan persekolahan di peringkat sekolah menengah.

Kerajaan ujarnya telah menyediakan pelbagai bantuan dan insentif bagi memastikan anak-anak Penan hadir ke sekolah termasuk melalui Unit Perancang Ekonomi Sarawak (EPU) dan Tabung Amanah Bakun.

Sementara itu, Pengarah JPNS, Datu Dr Azhar Ahmad dalam ucapannya menjelaskan program Mojing Kenin yang mula dijalankan di Bintulu, SMK Bakun dan SK Lusong Laku Belaga khusus untuk anak-anak Penan Sarawak.

“Program Mojing Kenin ini adalah salah satu inisiatif yang dilaksanakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dalam usaha kita mengangkat martabat pendidikan khasnya kepada anak-anak dari kalangan suku kaum Penan" katanya.

Menerusi program itu, anak-anak Penan di SMK Bakun telah diberikan motivasi dan penerangan oleh penceramah jemputan di kalangan anak-anak Penan yang telah berjaya.

Aktiviti Celik Bahasa Inggeris pula meningkatkan minat penguasaan bahasa tersebut dalam kalangan pelajar dijalankan pasukan Task Force PPD Tatau Sebauh.

Sementara itu, Pengetua SMK Bakun, Thomas Uning menegaskan isu kehadiran pelajar Penan ke sekolah antara isu utama di sekolah tersebut.

“Isu utamanya adalah kehadiran ke sekolah, jadi dengan adanya program ini ia akan menyuntik minat dan semangat pelajar Penan supaya dapat menghadirkan diri ke sekolah dan seterusnya kemenjadian pelajar itu dapat kita capai seperti mana yg terkandung dalam Falsafah Pendidikan Negara.”

Bagi membantu dalam penganjuran Mojing Kenin, Kennedy Chukpai mengumumkan peruntukan RM10,000 kepada PPD Tatau Sebauh.

Manakala RM65,000 peruntukan akan disalurkan kepada SMK Bakun bagi menampung perbelanjaan aktiviti kokurikulum pelajar-pelajar sekolah itu.


(Ahli Dewan Undangan Negeri Murum, Kennedy Chukpai Ugon, guru-guru dan pelajar
SMK Bakun bergambar kenangan selepas perasmian program mojing Kenin)

Media Baharu