KUALA LUMPUR, 1 Julai- Para peniaga perlu memainkan peranan penting dengan lebih bertanggungjawab dalam pelaksanaan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Timbalan Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia, Dr. Mohd Fairuz A. Razak berkata, peniaga perlu memiliki pemahaman kukuh terhadap sistem SST bagi memastikan mereka melaksanakan tanggungjawab dengan betul dan telus.
Ia bagi mengelakkan kenaikan harga tidak terkawal serta caj tambahan yang membebankan pengguna.
"Ramai yang tidak tahu bagaimana untuk mendaftar atau melaporkan cukai. Maka, kerajaan perlu menganjurkan webinar percuma, turun padang atau bekerjasama dengan persatuan seperti restoran dan peruncit untuk menyampaikan maklumat secara terus.
"Peniaga juga perlu memastikan sistem perakaunan dan pengurusan resit mereka sentiasa dikemas kini, khususnya dalam memanfaatkan era digital hari ini serta mematuhi pematuhan kepada peraturan yang ditetapkan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media di sini.
Pemantauan berterusan daripada pihak berkuasa diperlukan bagi membendung sebarang bentuk penyelewengan atau ketirisan yang boleh mengakibatkan kerugian kepada negara.
"Peniaga yang culas melaporkan dan membayar cukai sewajarnya dikenakan tindakan tegas. Kita semua ada tanggungjawab menyumbang kepada pembangunan negara.
"Ia seperti kepatuhan kita kepada lampu isyarat di jalan raya, begitu juga dengan undang-undang cukai. Kita perlu kutip SST kerana hasilnya digunakan untuk dimanfaatkan kembali kepada rakyat," katanya lagi.