KULAI, 1 Julai- Majlis Perbandaran Kulai telah menyita tiga premis dan mengeluarkan arahan penutupan terhadap lapan premis di Kulai, semalam, kerana dikendalikan oleh warga asing yang berniaga tanpa lesen.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata kompaun sebanyak RM2,900 turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
Dalam operasi sama, seramai 16 warga asing turut ditahan oleh Jabatan Imigresen kerana tidak memiliki permit yang sah.
Operasi itu dijalankan secara berterusan bagi melindungi kepentingan peniaga tempatan yang sah.
Datuk Mohd Jafni menegaskan bahawa pihaknya akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan ruang perniagaan yang disediakan di negeri itu.