fb fb fb fb fb

Draf pindaan Akta 134 dimuktamad September ini

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi/ Foto RTM

PUTRAJAYA, 1 Julai– Kerajaan komited membela hak orang asli dengan memuktamadkan draf pindaan Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) menjelang September ini.

Demikian kata Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

"Setelah sekian lama diperjuangkan, kita kini berada di fasa akhir penyediaan draf pindaan Akta 134 yang menyentuh pemilikan tanah masyarakat orang asli.

"Insya-Allah, ia akan dimuktamadkan selewat-lewatnya September ini dan dibentangkan di Parlimen pada Mac 2026,” katanya dalam Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini hari ini.

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid berkata, langkah itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperjuangkan hak masyarakat orang asli, khususnya berkaitan tanah adat dan kawasan penempatan tradisional yang sering terdedah kepada konflik dan ketidakpastian undang-undang.

Tambah beliau lagi, kementeriannya juga telah diberi amanah untuk merencanakan pembangunan masyarakat desa pada tahun ini yang bernilai hampir RM12 bilion.

"Sehingga hari ini, sebanyak RM3.37 bilion telah dibelanjakan tetapi nilai yang besar bukanlah segalanya, paling penting sejauh mana kehidupan rakyat benar-benar berubah hasil usaha kita," jelasnya.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM