KUALA LUMPUR, 16 Disember-Seramai 20 peratus usahawan yang menerima pembiayaan Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India iaitu (SPUMI) disenaraikan ke agensi pelaporan kredit kerana gagal membayar semula pinjaman kepada TEKUN Nasional.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ramanan Ramakrishnan berkata, jumlah itu adalah daripada keseluruhan 9,412 usahawan yang diluluskan pembiayaan masing-masing bagi tempoh 2019 hingga November tahun 2024.
Jelasnya, pelbagai langkah diambil bagi menangani isu tersebut termasuk mengadakan program pendidikan kewangan bersama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bertujuan membantu para usahawan menstabilkan aliran tunai untuk melunaskan pinjaman.
"Kedua, adalah menjalankan pemantauan berkala terhadap usahawan termasuk memberikan sokongan, bimbingan bagi membantu mereka mengatasi cabaran kewangan.
"Ketiga adalah memperkukuhkan urusan perhubungan dalam proses pemungutan hutang melalui penghantaran peringatan automatik iaitu melalui aplikasi mudah alih seperti SMS ataupun emel yang memudahkan usahawan menguruskan jadual pembayaran mereka.
"Dan akhir sekali, adalah menawarkan pilihan penstrukturan ataupun penstrukturan bagi pinjaman semula kepada usahawan yang menghadapi kesukaran kewangan merangkumi pelan pembayaran yang lebih fleksibel seperti pelanjutan tempoh pembayaran ataupun pengurangan pembayaran bulanan", katanya demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Sivaraj Chandran.
Dalam pada itu, Ramanan memaklumkan TEKUN Nasional hanya mengambil tindakan terhadap peminjam-peminjam yang berkemampuan tetapi enggan melunaskan pembayaran balik pinjaman masing-masing.
Bagaimanapun, Ramanan berkata pihak TEKUN akan menjalankan siasatan terlebih dahulu bagi mengenal pasti punca kegagalan pembayaran pinjaman, sebelum mengambil tindakan mahkamah sebagai pilihan terakhir.
"Penjadualan semula juga 'rescheduling' dengan pembayaran serendah RM30 sahaja sebulan juga akan diberikan kepada peminjam-peminjam tersebut.
"Juga kita mengambil satu pendekatan bahawa kalau sekiranya peminjam-peminjam tersebut membuat bayaran secara berterusan bagi tempoh enam bulan, tanpa gagal , kami akan bagi juga pinjaman tambahan kepada mereka untuk mereka menjalankan perniagaan mereka supaya perniagaan mereka dapat berjaya balik di dalam keadaan yang susah mereka.
"Tetapi untuk memberikan 'right off' kepada pinjaman tersebut, kami tidak boleh berbuat demikian kerana untuk peminjam-peminjam yang akan datang selepas ini, peminjam yang lain..mereka tidak akan dapat satu peluang untuk mengembangkan perniagaan mereka", katanya.