KUALA LUMPUR, 16 Disember- Pertolongan Cemas Psikologi (PFA) amat penting bagi membantu penduduk terjejas banjir untuk mengurus dan mengawal emosi selepas menghadapi bencana.
Presiden dan Pengasas NGO Empati, Syahida Zulkarnain berkata pendekatan sokongan psikologi seumpama itu membantu individu yang mengalami krisis untuk menstabilkan emosi dan mengatasi kesan trauma pascabanjir.
"Mangsa banjir lebih kepada ketidakpastian, rasa tidak selamat dan sebagainya. Kadang-kadang ada dalam kalangan mereka yang kurang berharap dengan masa hadapan. Jadi, kita perlu jaga emosi mereka, setiap kata-kata kita perlu dikawal dan perlu terjaga."
"Masih ada kelompongan daripada segi mengendalikan emosi dengan baik. Ada yang cuma memberi barang kebendaan, selepas itu ditinggalkan dan sebagainya."
"Saya harap sangat masyarakat Malaysia lebih dapat membantu mangsa banjir daripada segi emosi juga dapat memberi sokongan moral," kata Syahida kepada pemberita hari ini.
Beliau ditemui pemberita selepas menjadi tetamu dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.
Jelasnya, sokongan awal psikologi membantu dalam aspek pemulihan mental yang menyeluruh dan memperkukuh daya tahan untuk menghadapi cabaran masa depan.