fb fb fb fb fb

SPRM tahan seorang lagi suspek terima rasuah

Foto hiasan

ALOR SETAR, 9 Januari- Seorang lagi suspek ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah kerana disyaki meminta dan menerima rasuah bagi membatalkan kompaun dikeluarkan sebuah agensi penguat kuasa di negeri itu.

Menurut sumber, suspek lelaki yang juga merupakan seorang penyelia keselamatan tapak bina berusia sekitar 30-an ditahan kira-kira pukul 11.00 malam tadi ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kedah.

Susulan penahanan itu, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar pagi tadi dan perintah reman selama enam hari dikeluarkan oleh Majistret Muhammad Zul Hilmi Latif bermula hari ini sehingga 14 Januari depan.

Suspek dipercayai bersubahat bersama-sama seorang penolong pegawai tadbir kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah bernilai RM5,000 daripada sebuah syarikat  pada tahun 2022.

Wang berkenaan sebagai balasan bagi membatalkan kompaun yang telah dikeluarkan oleh sebuah agensi penguatkuasa terhadap syarikat berkenaan atas kesalahan ketiadaan Perakuan Pematuhan Standard (PPS) untuk bahan binaan.

SPRM telah menahan reman seorang penolong pegawai tadbir berusia dalam lingkungan 30-an selama enam hari disyaki rakan subahat suspek, semalam.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Soock Wee Ei Tem ketika dihubungi mengesahkan penahanan terhadap suspek.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI