fb fb fb fb fb

SPRM tahan penjawat awam, guna invois palsu

Seorang penjawat awam ditahan reman oleh SPRM Kedah

ALOR SETAR, 22 Januari- Seorang penjawat awam ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah kerana disyaki menggunakan dokumen invois bagi tujuan tuntutan palsu pembayaran Program Jualan Rahmah 2023 berjumlah kira-kira RM 22,000.

Perintah reman selama lima hari bermula hari ini hingga 26 Januari depan dikeluarkan oleh Majistret Tuan Muhammad Zul Hilmi Latif selepas SPRM membuat permohonan tersebut di Mahkamah Majistret Alor Setar pagi tadi. 

SPRM menahan suspek wanita berusia berusia 30-an itu kira-kira pukul 9.00 malam semalam di pejabat SPRM Kedah ketika diminta hadir memberi keterangan.

Menurut sumber, suspek dipercayai menjadi perancang utama dan berpakat dengan pemilik syarikat untuk menggunakan invois mengandungi butir matan palsu iaitu kuantiti jualan melebihi kuantiti sebenar yang terjual. 

Bagaimanapun perkara itu dikesan setelah mendapati invois dikemukakan tidak sama dengan Laporan Ringkas Program Jualan Rahmah 2023 yang dikeluarkan Pejabat KPDN Negeri Kedah.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Soock Wee a/l Ei Tem ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

Kes disiasat bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI