fb fb fb fb fb

Kontrak kerajaan, keutamaan diberikan kepada kontraktor tempatan

Timbalan Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan (duduk tengah) pada sidang media selepas majlis penyerahan Projek Menaik Taraf Ruang Sedia Ada kepada Farmasi Steril di Hospital Labuan / FOTO BERNAMA

LABUAN, 22 Januari - Kontraktor tempatan yang memiliki keupayaan kewangan dan operasi yang baik akan diberi keutamaan untuk kontrak-kontrak kerajaan.

Menurut Timbalan Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, perkara berkenaan penting memandangkan kontraktor tempatan lebih mahir dan memahami selok belok mengenai pembekalan bahan pembinaan serta harga.

Beliau memberi contoh projek-projek di pulau Labuan membabitkan bahan pembinaan yang perlu dibawa dari tanah besar Sabah.

"Apabila bahan penting tidak tersedia di pulau itu, kontraktor terpaksa mendapatkannya dari pelbagai tempat di Sabah, sekali gus meningkatkan kos. Akibatnya, perbelanjaan projek di Labuan dilaporkan 30 peratus lebih tinggi berbanding negeri lain.

"Dengan memberikan keutamaan kepada kontraktor tempatan yang mempunyai keupayaan dari segi operasi dan kewangan yang stabil di samping rekod prestasi baik, kita bukan sahaja menyokong kelestarian mereka, malah turut menyumbang kepada ekonomi tempatan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Projek Menaik Taraf Ruang Sedia Ada kepada Farmasi Steril di Hospital Labuan pada Isnin.

Dalam sidang media sama Ahmad Maslan turut memaklumkan, Surat Setuju Terima (SST) bagi Klinik Kesihatan di Kampung Bebuloh telah diserah kepada kontraktor yang terpilih.
 
Projek tersebut dianggar bernilai RM26.821 juta dengan tempoh pembinaan selama 3 tahun.

"Ini tentunya akan memudahkan rakyat di Labuan, bukan hanya tertumpu ke hospital ini, tetapi turut mempunyai 'Plan B' apabila klinik berkenaan siap pada 2027", kata Ahmad Maslan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD