fb fb fb fb fb

SPRM siasat tuntutan palsu dan penyelewengan insentif Program Penjana Kerjaya

KUALA LUMPUR, 13 Julai - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah melancarkan Ops Hire bagi menyiasat isu tuntutan palsu dan penyelewengan dana insentif Program Penjana Kerjaya (Penjana Kerjaya) di beberapa negeri seluruh negara.

SPRM dalam satu kenyataannya hari ini, berkata operasi berkenaan dikendalikan Ibu Pejabat SPRM bersama-sama SPRM Negeri dijalankan secara serentak bermula hari ini.



(Foto fail)

"Program Penjana Kerjaya merupakan antara inisiatif kerajaan bagi membantu majikan dan pekerja semasa mendepani cabaran COVID-19 bermula awal tahun 2020.

"Program ini dilaksanakan oleh PERKESO bagi tujuan merangsang ekonomi negara melalui pewujudan pekerjaan baharu, mengekalkan pekerjaan dan meningkatkan kemahiran pekerja," katanya.

Menurut kenyataan tersebut, SPRM dengan kerjasama PERKESO telah membangunkan maklumat menerusi pemantauan dan risikan terhadap penerima dana dan mendapati ada majikan-majikan yang mengemukakan tuntutan palsu dan menyeleweng dana ini.

SPRM memandang serius isu berkenaan kerana ia berkepentingan awam sekali gus memberi jaminan akan menyiasat secara menyeluruh bagi memastikan pihak-pihak yang terlibat dikenakan tindakan tegas berlandaskan undang-undang yang berkuatkuasa.

Media Baharu