fb fb fb fb fb

Syarikat bekalan air gagal capai KPI berdepan risiko lesen tidak disambung

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof/Foto RTM

KUALA LUMPUR, 7 Ogos- Syarikat bekalan air yang gagal mematuhi Penunjuk Prestasi Utama (KPI) ditetapkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bakal berdepan tindakan undang-undang dan pelesenan tidak akan dilanjutkan.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata syarikat yang tidak memenuhi KPI akan diberi peringatan dan tempoh enam bulan untuk memperbaiki prestasi sebelum dikenakan tindakan.

"Kalau mereka (syarikat) tak memenuhi KPI tersebut, di bawah undang-undang, mereka boleh dikenakan hukuman sebenarnya sama ada denda dan penjara.

"Sebelum tindakan itu diambil, SPAN akan memberi amaran atau peringatan kepada syarikat-syarikat tak penuhi KPI", katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa mengenai mekanisme kerajaan untuk memantau syarikat bekalan air negeri yang tidak memenuhi KPI ditetapkan SPAN.

Jelasnya lagi, penilaian terhadap syarikat bekalan air turut menentukan tempoh pelanjutan lesen operasi, yang diberikan secara berperingkat berdasarkan prestasi.

“Pelesenan ditetapkan bagi tempoh lima tahun. Jika prestasi baik, lesen akan dilanjutkan untuk lima tahun.

"Jika sebaliknya, pelanjutan hanya diberikan antara satu hingga tiga tahun. Malah, ada syarikat hanya menerima lanjutan setahun kerana prestasi tidak memuaskan,” ujarnya.

Antara KPI utama yang digunakan dalam penilaian termasuk rizab margin, kualiti air terawat, pengurangan air tidak terhasil, kecekapan penyelesaian aduan pelanggan dan tempoh pembaikan kerosakan.

Setakat ini, sebanyak 82 projek perkhidmatan bekalan air melibatkan peruntukan keseluruhan RM7.7 bilion telah diluluskan oleh SPAN bagi memastikan sistem bekalan air negara lebih cekap dan mampan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD