fb fb fb fb fb

Malaysia terus jadi pemudah cara rundingan damai Thailand–Kemboja

Foto Facebook Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 7 Ogos – Malaysia akan terus memainkan peranan sebagai pemudah cara dalam memastikan pelaksanaan gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja di kawasan sempadan kekal terpelihara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keyakinan yang diberikan oleh kedua-dua negara kepada Malaysia bagi menerajui rundingan damai dan memantau situasi sempadan merupakan amanah besar yang akan digalas sebaiknya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Kemboja, Jeneral Tea Seiha, dan Pemangku Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Nattaphon Narkphanit bersama delegasi masing-masing di Perdana Putra, pagi tadi.

Pertemuan tiga hala itu menyusul selepas gencatan senjata dicapai antara kedua-dua negara bermula 28 Julai lalu, susulan ketegangan di kawasan sempadan.

“Alhamdulillah, kedua-dua negara mencapai beberapa persetujuan penting termasuk komitmen untuk terus mematuhi sepenuhnya gencatan senjata.

Selain, tidak melakukan sebarang serangan, tidak menambah kekuatan atau mengubah penempatan tentera, mengelak tindakan provokatif, serta menjamin perlindungan terhadap orang awam dan infrastruktur awam,” kata Perdana Menteri dalam kenyataan.

Tambah beliau, Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar akan memainkan peranan penting dalam usaha pemantauan berterusan antara semua pihak.

Turut dibincangkan ialah cadangan penempatan ASEAN Observer Team (AOT) di kawasan sempadan sebagai pasukan pemerhati bagi membantu pemantauan, penyelarasan bantuan kemanusiaan serta keperluan perubatan.

Perdana Menteri menegaskan, Malaysia kekal komited menyokong proses damai ini berlandaskan keyakinan bahawa keamanan berkekalan hanya boleh dicapai melalui dialog, persahabatan dan keikhlasan.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN