fb fb fb fb fb

Individu maut terbakar di belakang pasar raya, polis belum temui unsur jenayah

Foto hiasan

IPOH, 7 Ogos – Seorang individu ditemukan maut dengan hampir 80 peratus kesan terbakar di belakang sebuah pasar raya di Klebang, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar pukul 11.20 malam.

Sepasukan pegawai forensik bersama Ketua Balai Polis Chemor digerakkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan lanjut.

Menurut beliau, pasukan penyiasat menemui mayat dalam keadaan terbakar teruk dan dipercayai berlaku di kawasan terbuka yang terletak di belakang premis berkenaan.

"Hasil siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah dikesan setakat ini.

Namun, siasatan masih diteruskan dari pelbagai sudut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian," katanya.

Menurut beliau, pihaknya telah berjaya mengesan seorang saksi bebas yang akan membantu melengkapkan keterangan siasatan.

“Mangsa dipercayai berasal dari Ipoh, namun beralamat di Kuala Lumpur dan difahamkan pulang ke sini tanpa pengetahuan ahli keluarga,” katanya.

Tambah beliau, pihak polis sedang menunggu laporan penuh bedah siasat bagi mengetahui punca kematian dan proses pengecaman rasmi oleh waris mangsa.

ACP Abang Zainal Abidin berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan kepada Pesara Polis di Dewan Perpaduan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Chemor, hari ini.

Dalam majlis berkenaan, seramai 30 pesara polis menerima bantuan berupa kotak barangan asas sebagai penghargaan atas jasa dan pengorbanan mereka dalam pasukan keselamatan.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN