fb fb fb fb fb

Pemerkasaan TBB mampu tarik pelaburan RM637 bilion menjelang 2050

Datuk Seri Fadillah Yusof, Timbalan Perdana Menteri / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Pelaksanaan inisiatif-inisiatif bagi memperkukuh bidang tenaga boleh baharu (TBB) negara dijangka menarik pelaburan kira-kira RM637 bilion menjelang tahun 2050.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pelaburan itu juga mampu mewujudkan sebanyak 310,000 peluang pekerjaan.

Ia melibatkan bidang tenaga kerja berkemahiran tinggi seperti teknologi hijau dan ekonomi sirkular.

“Bagi menarik pelaburan langsung asing (FDI) dan juga pelaburan langsung domestik (DDI) dalam bidang tenaga boleh baharu, kerajaan akan menumpukan usaha dalam memperkukuh inisiatif TBB sedia ada bagi memberikan kepastian, insentif serta opsyen bekalan elektrik hijau yang lebih luas kepada pemain industri.

Ia akan menjadi faktor tarikan kepada pelabur untuk melabur dalam rantaian nilai industri TBB negara,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Rompin, Datuk Abdul Khalib Abdullah di Dewan Rakyat.

Beliau ditanya mengenai perancangan kementerian untuk menarik FDI dalam sektor teknologi hijau dan ekonomi sirkular berkaitan tenaga dan air serta impak jangkaan terhadap penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi dan pemindahan teknologi kepada tenaga kerja tempatan.

Menurut Datuk Seri Fadillah, antara fokus utama kerajaan ialah memperkukuh pelaksanaan Program Solar Berskala Besar, mekanisme tarif galakan dan Corporate Renewable Energy Supply Scheme (CRESS) sebagai pemangkin daya saing industri TBB.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN