fb fb fb fb fb

KKM percepat pelantikan tetap 4,352 pegawai perubatan

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 7 Ogos- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil langkah proaktif dengan mempercepat proses pelantikan tetap 4,352 Pegawai Perubatan Gred UD10 bagi tahun 2025.

Langkah itu menyahut seruan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Pengumuman Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia, 23 Julai lalu.

Justeru, KKM telah mengadakan sesi libat urus segera bersama agensi pusat termasuk Kementerian Kewangan (MoF), Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"Pelantikan tetap ini perlu dilaksanakan secara berfasa kerana ia melibatkan pegawai perubatan daripada beberapa kohort lantikan kontrak di samping menjaga kebajikan pegawai dari aspek susunan kekananan," kata kenyataan itu.

Menurut KKM, pihak SPA telah mula mengeluarkan surat tawaran kepada calon dan dijangka selesai selewat-lewatnya pada 18 Ogos 2025, manakala tarikh pelaporan diri ke fasiliti kesihatan seluruh negara ditetapkan seawal 2 Oktober 2025.

KKM turut merakamkan penghargaan kepada JPA, SPA serta Kementerian Kewangan atas kerjasama padu dalam menjayakan proses pelantikan itu.

"KKM kekal komited untuk memastikan keseluruhan proses pelantikan ini berjalan lancar. Ini selaras dengan langkah strategik KKM dalam memperkukuh sistem penjagaan kesihatan awam negara dengan memastikan pengisian jawatan kritikal dilaksanakan secara terancang, seimbang dan berteraskan keperluan perkhidmatan semasa," tambah kenyataan itu.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM