fb fb fb fb fb

Belanjawan 2026 selari tahun pertama RMK13

Datuk Seri Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 7 Ogos – Belanjawan 2026 akan diselaras agar selari dengan pelaksanaan inisiatif tahun pertama Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu bagi memastikan hala tuju pembangunan negara bergerak seiring kerangka dasar jangka sederhana yang telah dilancarkan sebelum ini.

Jelas beliau Belanjawan 2026 akan memberi penekanan kepada dua aspek utama iaitu menaikkan ‘siling’ bagi merangsang pertumbuhan dan pelaburan strategik, serta menaikkan ‘lantai’ demi menjamin kesejahteraan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah.

“Pelaksanaan tahun pertama itu mesti selari dengan hasrat kerangka besar Rancangan Malaysia Ketiga Belas yang menekankan soal siling dan lantai yang harus dinaikkan. Kalau kita bicara soal pertumbuhan dan pelaburan tetapi tidak memikirkan soal lantai, ia jadi masalah kerana harga barang umpamanya tidak susut.

Kalau gaji naik setimpal atau lebih, ia tidak akan menekan seperti mana yang dirasai oleh sebahagian rakyat kita dengan kos sara hidup,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penutup Majlis Libat Urus Belanjawan 2026 di Putrajaya, hari ini.

Datuk Seri Anwar menjelaskan, pendekatan menaikkan siling akan terus merangsang pertumbuhan ekonomi dan pelaburan strategik.

Sementara itu, menaikkan lantai pula akan memastikan rakyat menerima jaminan terhadap perkhidmatan asas seperti pendidikan, kesihatan dan pendapatan minimum yang lebih mampan.

Menurut beliau, kedua-dua pendekatan ini saling melengkapi, dan penting untuk memastikan pertumbuhan ekonomi tidak bersifat eksklusif atau menindas lapisan bawahan masyarakat.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI