fb fb fb fb fb

ECK tidak terlibat dalam projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim - MB

ALOR SETAR, 13 Julai - Kontrak perjanjian antara syarikat pemaju, ECK Development Sdn Bhd (ECK) bersama KXP Holdings Sdn Bhd bagi membina Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim, KXP telah ditamatkan pada Mei lalu.

Perkara itu disahkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, hari ini.

Jelas Datuk Seri Muhammad Sanusi, syarikat terbabit gagal mematuhi beberapa terma dan syarat yang terkandung dalam perjanjian yang dimeterai sebelum ini.

Ia termasuk gagal melunaskan pembayaran deposit kepada kerajaan bagi tujuan perolehan pengambilan tanah melibatkan nilai lebih RM2.1 billion.


(Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor)

"Asas dia kena buat pengambilan balik tanah. Bila tanah tak dapat dibuat pengambilan jadi projek itu tidak jalan tapi kita bukan hendak berhenti projek itu. Kita cari orang lain pula. Sebab itu saya kata saya jiwa merdeka. Saya tiada hutang dengan sesiapa. Saya nak lantik siapa, saya nak pecat siapa, saya punya keputusan, penilaian, saya boleh buat bila-bila masa. Kita akan buat proses pemilihan yang paling meyakinkanlah sebab ini melibatkan pelaburan yang besar," kata sanusi selepas melancarkan Inisiatif Kulim Smart Parking, Kolaborasi antara Majlis Perbandaran Kulim dan Heitech Padu Berhad di Wisma Darul Aman, di sini.

Beliau turut berkata, permohonan syarikat-syarikat berkenaan kini dalam proses pertimbangan KXP Holdings Sdn Bhd, syarikat tujuan khas yang diwujudkan bagi pengurusan projek terbabit.

Untuk rekod, pada 24 Februari 2021, 'ECK mengumumkan dilantik kerajaan negeri Kedah bagi menyertai usahasama membangunkan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP).

Syarikat terbabit berkata, mereka akan terbabit secara langsung sebagai rakan strategik projek KXP bermula daripada urusan pembinaan sehingga pentauliahan lapangan terbang itu.

Ia termasuk membawa masuk operator lapangan terbang dan operator kargo antarabangsa untuk menjalankan operasi di KXP selepas ia siap kelak.

Selain membangunkan lapangan terbang bertaraf antarabangsa dengan dua landasan, ECK turut akan terbabit dalam pembangunan komponen utama lain iaitu bandar raya udara dikenali 'Kedah Aerotropolis' dan 'Airport City' di Mukim Sidam Kiri, Kuala Muda.

ECK juga akan memainkan peranan menarik pelabur dari dalam dan luar negara untuk melabur di Kedah Aerotropolis dan Airport City.

Media Baharu